BIG sem 1
Menelusuri refleksi BIG yg penah dibuat sem 1 dlu...hee~~
Alhamdulillah, pertama-tama dan terakhirnya jutaan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya dapat juga saya siapkan laporan dan refleksi perkhemahan Bina Insan Guru (BIG) bagi semester satu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini pada masa dan tempoh yang ditetapkan.
Pada 22-25 Mei 2008 yang lalu, saya dan 98 rakan yang lain telah menjalani program Bina Insan Guru bagi semester 1 iaitu perkhemahan yang diadakan di Taman Rehlah Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan yang merupakan aktiviti wajib program latihan perguruan.
Sepanjang 4 hari 3 malam saya dan rakan-rakan berkampung di Taman Rehlah berbekalkan modul-modul dan tanggungjawab yang telah disusun serta disediakan oleh pihak Bahagian Pendidikan Guru dan Institut Perguruan Kuala Terengganu, pastinya banyak mehnah dan ujian yang terpaksa saya hadapi. Tidak dapat dilupakan juga 1001 pengalaman pahit dan manis yang dapat saya pelajari di sana.
Kita telusuri hari pertama iaitu hari Khamis, 22 Mei 2008. Pada hari tersebut sebenarnya kami baru sahaja selesai menjalani peperiksaan akhir semester 1. Bayangkan dalam kesibukan menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan kami terpaksa mencuri sedikit masa untuk mengemaskan pakaian untuk perkhemahan BIG dan barang-barang yang akan dibawa pulang ke kampung sementelah bermula pada 23 Mei hingga 14 Jun merupakan cuti semester pertama bagi pelajar-pelajar institut perguruan di seluruh Malaysia dan kami diarahkan supaya mengosongkan bilik asrama. Satu tugas yang bukan mudah rupanya! Tapi, mujurlah pihak pengurusan asrama membenarkan kami menggunakan almari untuk menyimpan separuh daripada barang-barang kami.
Alhamdulillah, kami dapat menyempurnakan tanggungjawab tersebut sebelum jarum jam menunjukkan jam 2 petang kerana pada masa itulah kami dijangka menaiki bas dan bertolak ke Taman Rehlah. Rupanya, di sini sekali lagi kesabaran dan ketenangan kami diuji dengan begitu hebat. Seawal jam 1.45 setelah menunaikan solat fardhu Zohor kami dengan setianya menanti bas institut yang akan membawa kami ke Taman Rehlah. Namun,kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Bas yang kami nantikan dengan penuh ‘kerinduan’ itu hanya tiba pada jam 4.00 petang. Walaupun, geram dengan situasi yang dihadapi, namun kami tetap memaniskan wajah…
Oh, BIG terlebih awal melatih diriku menjadi bakal guru dengan situasi sebegini, fikir saya. Cuba kita adaptasikan dalam konteks seorang guru. Kesabaran adalah penting ketika berada dalam kelas bersama murid-murid. Tanpa kesabaran yang setebal Kamus Dewan, sudah tentu saban hari akan terpampang di dada akhbar tentang penderaan yan dilakukan oleh guru-guru terhadap murid-murid yang tidak mendengar kata dan mempunyai masalah disiplin, bukan? Mujurlah, Malaysia memiliki guru-guru yang betul-betul berjaya memenuhiaspirasi negara seperti kami ini…
Pada malam hari, aktiviti utama yang kami jalani ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Hajah Rohani bt. Ab. Hamid. Berdasarkan unit, kami ditaklifkan untuk berbincang mengenia nama, logo (bendera), sorakan dan nyanyian kumpulan. Bermacam-macam cadangan yang diterima daripada kami sebelum semua bersetuju dan bersepakat untuk memilih PRODIGY yang dicadangkan oleh ‘Amirah sebagai nama dan identiti kumpulan kami. PRODIGY bermaksud mempunyai kebolehan yang luar biasa. Nah, bertepatan bukan dengan kami, opsyen Pendidikan Islam (PAI) kan? Amyrudin ditugaskan untuk melukis logo kumpulan yang telah dihasilkan secara bersama oleh semua ahli kumpulan beserta dengan maksud setiap objek yang digunakan. Syadid dan Izzuddin pula merupakan individu yang bertanggungjawab menggubah lagu dan menulis skrip opsyen kami:
Prodigy (3x)
Pantang berundur sebelum kalah
Walau dicabar kami tak gentar
Kamilah Prodigy (2x)
Di sini saya belajar tentang betapa pentingnya kita menjadi pendengar yang baik dan menerima serta menghargai pendapat orang lain. Hal ini demikian kerana walaupun rambut manusia sama hitam, hati sama merah, tapi isi hati merela berlainan. Kita tida boleh mengatakan pendapat kita sahaja yang harus diterima dan mengenepikan pendapat orang lain. Itu menyalahi konsep ethos guru yang sebenarnya.
Selain itu, sebagai seorang guru kita perlu mempunyai kebolehan berkomunikasi yang baik dan memiliki bahasa badan yang bersesuaian untuk membolehkan kita diterima oleh orang ramai khususnya murid-murid kita nanti. Tanpa kebolehan-kebolehan tersebut, ilmu pedadogi pendidikan yang kita pelajari semasa menuntut di institut perguruan tidak dapat kita aplikasikan dengan sebaik mungkin.
Kumpulan kami (PAI) dipecahkan kepada 2 kumpulan kecil mengikut tutor masing-masing seperti kumpulan A bersama dengan Tuan Haji Salleh b. Jusoh dan kumpulan B bersama dengan Cik Hajah Zakiah bt. Abd. Wahab. Pada malam pertama, selepas menyelesaikan tugas menggantung jaket keselamatan di ampaian dengan menggunakan ‘penyangkut baju asli’, kami ditugaskan pula untuk mengawal keselamatan (Sentry). Sentry kumpulan A adalah pada jam 3-4 pagi sementara kumpulan B pula pada jam 4-5 pagi.
Aduh, peritnya menghabiskan saat-saat tersebut. Selama ini hanya berjaga malam untuk menyiapkan tugasan dan menelaah pelajaran tapi pada malam tersebut kami perlu menjadi pengawal keselamatan! Satu pengalaman yang baru bagi saya sendiri kerana belum pernah bangun di tengah malam dengan tugasan sebegitu. Lagi pula di dalam kawasan seperti Taman Rehlah itu kami perlu mengawal keselamatan kawan-kawan yang sedang enak dibuai mimpi dari anasir-anasir jahat makhluk Allah seperti manusia, binatang dan makhluk alam lain yang kita tidak bias lihat daripada pandangan mata kasar. Namun, segala puji dipanjatkan kepada-Nya kerana tiada perkara yang ganjil berlaku pada masa itu.
Alhamdulillah.
Pada hari kedua, Jumaat (23 Mei 2008), kami memulakan hari dengan menyanyikan 3 buah lagu patriotik iaitu lagu Negaraku, IPKT dan Kami Guru Malaysia serta senaman pagi yang dikendalikan oleh En. Safri b. Aziz. Macam-macam gaya senaman yang kami buat. Sungguh kelakar dan menyeronokkan!
Ada pepatah Arab menyebut:
العقل السليم فى جسم السليم
Maksudnya:
Akal yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas
Dalam sesi LDK kedua ini yang juga dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Hajah Rohani bt. Abd. Hamid, kami telah menjawab soalan-soala bagi ujian-ujian psikolgi (SDS/KONFLIK) dan Ice Breaking.
Kami dibekalkan dengan sehelai kertas A4 yang dibahagikan kepada 4 bahagian A, B, C, dan D. Pada kertas A ditulis tandatangan, B ditulis unit sendiri, C ditulis bangsa dan D ditulis negeri kelahiran. Kertas berlabel B, C, D diletakkan didalam satu bekas. Kami disurh membuat bulatan besar dan kertas A diletakkan di tengah bulatan.kami perlu mengambil sehelai kertas A yang telah diletakkan dan dikehendaki mencari pemilik tandatangan. Sesi berkenalan diadakan bersama pemilik tandatangan. Peserta yang tidak dapat mencari pemilik tandatangan ditanya kenapa gagal mencari dan apakah usaha yang telah dilakukan untuk mencari pemilik tandatangan tersebut.
Melalui aktiviti ini saya mendapat kertas yang ditandatangani oleh pelajar opsyen PRA Sekolah iaitu Mohd. Nawawi. Sebelum ini, saya tidak pernah pun ’beramah mesra’ dengan beliau kerana status jantina yang berlainan, tetapi disebabkan perlu mendapat pengakuan daripadanya, maka saya menebalkan muka dan membuang segala perasaan malu saya. Di sini, saya pelajari, sebagai guru kita perlu mempunyai sikap peramah dan harus memiliki perasaan malu yang bertempat. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perasaan malu harus dikikis dan diletakkan di tempat yang sepatutnya.
Seterusnya, kami diminta untuk menjawab soal selidik kerjaya (SDS) yang bedasarkan kepada kesukaan, kecekapan dan nama pekerjaan. Melalui ujian ini pelajar Institut Perguruan Kuala Terengganu yang betul-betul layak dan berminat untuk menceburi bidang perguruan hanyalah 8 orang. Mereka memperoleh keputusan SEA atau SAE. Dan, yang paling menggembirakan saya, rupa-rupanya saya pun antara 8 orang tersebut! Alhamdulillah. Sebenarnya, saya rasa minat saya dipupuk melalui pengaruh keluarga dan persekitaran kerana kedua-dua ibu bapa saya merupakan seorang guru, secara tidak langsung prospek kerjaya mereka diwarisi oleh saya.
Rupa-rupanya, kerjaya yang akan kita jawat bergantung kepada diri kita sendiri dan benda itu boleh dipupuk dari semasa ke semasa. Semuanya terpulang kepada kita berdasarkan minat dan cita-cita kita sendiri. Namun, walau siapa pun kita, semuanya adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Kita sebagai khalifah-Nya perlu memikul amanah sebaik-baiknya.
Pada jam 10.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari kami semua berada di dalam air untuk menjalani aktiviti kayak dan Water Confident. Kami, pelajar perempuan opsyen PAI digabungkan bersama-sama dengan pelajar daripada opsyen Pendidikan Jasmani (PJ), sementara opsyen lain menjalani aktiviti darat bersama En. Mohd. Eddy Chin b. Abdullah.
Inilah pengalaman pertama saya berkayak. Sepanjang saya hidup 21 tahun ini, belum pernah sekalipun saya menyentuh kayak, apatah lagi untuk berkayak. Saya berkayak bersama pasangan saya iaitu ’Amirah, yang juga tiada pengalaman langsung berkayak. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya unit PAI yang lain. Muka masing-masing pucat tidak berdarah.
Yang melucukan, sebelum berkayak saya sempat mengucap 2 kalimah syahadat dan meyampaikan ’wasiat’ kepada kawan-kawan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada saya nanti tolong sampaikan salam saya buat keluarga di kampung. Memang betul-betul tidak dapat digambarkan kengerian saya itu dengan kata-kata.
Melihat kepada kegugupan kami, pensyarah yang bertugas iaitu Pn. Normar bt. Ali dan En. Safri b. Aziz memberi sedikit taklimat awal dan perkara-perkara asas yang perlu diketahui untuk berkayak seperti pengenalan kayak, kaedah memegang dayung, cara memasuki kayak, teknik berkayak, teknik mengelakkan kayak dimasuki air atau terbalik dan cara mengawal kecemasan yang biasa berlaku semasa kayak.
Berdebar jantung saya apabila pertama kali masuk ke dalam kayak. Saya memilih untuk berasa di bahagian ’stern’ iaitu tempat duduk hadapan sementara ’Amirah di bahagian ’bow’ iaitu tempat duduk belakang. Lidah saya tidak berhenti meminta ampun daripada Allah dan memohon agar kayak kami di bawah naungan-Nya. Subhanallah, kayak kami berkaya digerakkan dan segala teknik yang pensyarah pembimbing berikan dapat kami berdua praktiskannya secara amali. Gembira, seronok, terharu dan semestinya bersyukur bercampur baur dalam diri kami berdua. Tiada kata-kata seindah bahasa yang mampu kami ungkapkan ketika itu.
Namun, apabila separuh masa kedua untuk ke kawasan yang lebih mencabar, kami ditukarkan pasangan dengan pelajar lelaki opsyen PJ. Tempat ’Amirah ditukarkan dengan saudara Zaidul sementara beliau sendiri dipasangkan dengan saudara Azri dari opsyen yang sama. Agama tidak menghalalkan percampuran antara lelaki dengan perempuan tanpa sebab-sebab yang khusus, namun diberi rukhsah jika dalam keadaan darurat. Dan, alhamdulillah, Zaidul memahami situasi saya dan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada saya di samping menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat. Jutaan terima kasih kepada saudara Zaidul kerana banyak membantu saya sepanjang menjadi penghuni air dalam tempoh 15 minit tersebut.
Banyak benda baru yang dapat saya pelajari semasa berkayak dan dalam banyak-banyak aktiviti BIG ini saya rasakan saya jatuh hati dengan aktiviti kayak. Tidak sabar rasanya untuk mencuba lagi! Kayak mengajar saya erti bekerjasama, tolak ansur, kefahaman antara ahli kumpulan, perlunya menghormati arahan pemimpin dan bersikap cakna antara satu sama lain.
Di samping itu, aktiviti dalam air kedua yang juga banyak menguji keimanan dan ’keperkasaan’ saya ialah ’Water Confident’. Wah, saya dah mampu berenang! Kelakar bunyinya tapi itulah realiti yang dihadapi. Seperti kayak, saya juga tidak pernah merasai pengalaman dan belajar berenang. Biasanya apabila ke pantai atau sungai saya hanya mampu berada di gigi-gigi air atau merendamkan sedikit badan dalam air, tapi semasa aktiviti water confident ini saya diajar cara-cara berenang dengan betul.
Kuak kupu-kupu, gaya bebas dan ’renang berirama’ antara jenis gaya renangan yang saya lakukan. Tapi sekarang, andainya disuruh berenang saya masih memerlukan bantuan jaket keselamatan jika ingin berada bagai ikan-ikan di dasar lautan. Pelik tapi benar! Walaupun boleh berenang walaupun jauh bezanya dengan gaya renangan orang lain, saya juga dapat merasa saat-saat ditarik oleh pensyarah ketika itu iaitu Tn. Hj. Mutalib apabila beliau melihat renangan saya itu tersasar daripada tempat untuk mendarat. Apabila saya teringat akan peristiwa itu, pasti saya akan ketawa seorang diri. Lawak... lawak...
Melalui water confident, saya dapat rumuskan bahawa, setiap apa yang ingin kita lakukan perlulah ada keyakinan yang tinggi serta kepercayaan kepada kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Jika orang lain boleh melakukannya, kenapa tidak aku? Namun, ada seorang sahabat saya yang betul-betul fobia dan mengalami ketakutan yang amat sangat apabila berada di air. Mungkin ada sejarah dan pengalaman silam yang pahit yang telah ditempuhinya menyebabkan beliau menjadi begitu. Semoga selepas ini beliau berjaya mengatasi masalah tersebut. Amin.
Pada hari ketiga, Sabtu, 24 Mei 2008, program BIG dimulakan seperti biasa, nyanyian lagu-lagu patriotik dan senaman bersama-sama bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara. Sebelum kami kembara di kawasan Pasir Puteh terlebih dahulu kami berkumpul di surau untuk sesi LDK keempat yang bertajuk Motivasi Diri dan Cetusan Idea yang juga dikendalikan oleh Dr. Hajah Rohani bt. Abd. Hamid. LDK ini lebih kepada untuk memotivasikan kami sebagai bakal guru dan melatih kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis tentang sesuatu topik yang berkaitan dengan permasalahan profesion perguruan secara spontan.
Saya dapati, walaupun fikiran kita telah ditetapkan untuk menjadi guru suatu hari nanti, namun, akal dan hati kita perlu disirami dengan kata-kata semangat dan curahan baja motivasi supaya perasan seorang guru dapat diwujudkan sepanjang masa. Iman manusia boleh bertambah dan berkurang sudah semestinya juga perasaan kita. Pasti ada masa kita bersemangat dan ada kalanya motivasi kita jatuh merudum. Oleh itu, perlunya ada seserang individu yang sentiasa menyedarkan kita dan menggerakkan kita daripada terus terlena serta terleka.
Selepas menikmati minuman pagi, kami memulakan aktiviti kembara yang merupakan aktiviti yang terbesar dan betul-betul menguji ketahanan mental, fizikal, intelek, rohani dan emosi kami semua. Segala onak dan duri kami tempuhi, panas padang pasir kami lalui, semak samun kami langkahi, jalan berliku kami telusuri dengan 1001 perasaan yang bersarang di lubuk hati.
Terdapat 6 checkpoint yang perlu kami lalui iaitu menyusuri laluan pantai dan tiba di checkpoint pertama, tapak rumah api yang melalui hutan kecil dan tiba di checkpoint kedua, Kem Program Latihan Khidmat Negara Pantai Semerak, Pasir Puteh. Checkpoint ketiga, Masjid Mukim Kuala Semerak. Checkpoint keempat, jambatan Kg. Cherang Ruku. Checkpoint kelima, Kaki Bukit Peraksi untuk menunggu sebahagian peserta yang mendaki Bukit Peraksi. Checkpoint 6, Jeti yang merupakan tempat memasak untuk makan tengah hari.
Bagaikan hampir patah kaki ini berjalan tanpa henti menuju ke checkpoint kelima. Rasanya, jika semangat seorang guru yang tidak mudah berputus asa itu tiada dalam diri saya dan kawan-kawan, aktiviti kembara ini kami tamatkan di pertengahan jalan sahaja. Betul-betul merupakan pengalaman yang meletihkan! 3 hari berturut-turut saya diurut oleh ayah saya. Di hati ini hanya Tuhan yang tahu...
Melalui aktiviti kembara ini juga, dapat kita lihat dengan jelas siapa yang betul-betul merupakan kawan kita dan siapa yang menjad gunting dalam lipatan, di waktu senang baik, namun, masa susah tiada siapa yang sama-sama mahu menanggung kesusahan tersebut. Benarlah kata orang tua, kawan ketawa senang dicari tetapi kawan menangis sukar sekali untuk didapati.
Disebabkan kemantapan ukhuwah kami antara pelajar opsyen PAI yang bagaikan sebuah keluarga besar yang dinaungi oleh 2 orang tutor iaitu Tn. Hj. Salleh b. Jusoh dan Cik Hjh. Zakiah bt. Abd. Wahab, di sepanjang perjalanan tersebut kami saling bekerjasama dan bantu-membantu apabila terdapat sebarang masalah.
Namun, yang menjad ralat di hati kami ialah hajat dan hasrat yang menggunung untuk merasai pengalaman mendaki bukit (Bukit Peraksi) tidak dapat terlaksana. Ini kerana alasan pensyarah pembimbing masa tidak mencukupi untuk melepaskan kesemua peserta BIG ini untuk ke atas bukit. Rasa seperti ketidak adilan berlaku kerana masing-masing yang tidak dapat mendaki bukit dengan semangat yang berkobar-kobar meneruskan perjalanan yang memenatkan itu semata-mata untuk menimba pengalaman mendaki bukit.
Perasaan hampa, sedih dan kecil hati saling bercampur baur dalam diri mereka-mereka yang tidak dapat naik sementelah telah dikhabarkan oleh En. Mutalib semasa taklimat tentang keindahan tempat tersebut. Selain itu, Bukit Peraksi juga merupakan antara tempat di Kelantan yang mana ulama’-ulama’ naik ke atas sana untuk melihat anak bulan. Bukankah semua itu adalah sejarah Islam yang perlu diagungkan? Kemajuan umat Islam. Ini adalah penting untuk lebih menanamkan kepercayaan dan kekaguman dalam diri setiap orang tentang kebesaran dan keagungan pencipta kita iaitu Allah s.w.t.
Walau bagaimanapun, kami faham, pensyarah mungkin ada alasannya yang tersendiri kenapa terjadi begitu. Namun, harapnya pada waktu-waktu lain biarlah apa yang diperoleh semasa program BIG ini dapat dirasai oleh semua orang. Kalau tiada masa yang mencukupi,lebih baik semua peserta usah naik terus. Tidak akan timbul rasa ketidakpuasan hati antara seorang individu dengan individu yang lain.
Walaupun begitu, kami opsyen PAI jika diberi ruang waktu dan keizinan oleh Allah akan cuba juga untuk menawan Bukit Peraksi tersebut. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya. Perancangan dalam buku program BIG itu jika diikut dengan teliti, pasti hasilnya akan lebih memberangsangkan bukan? Tapi, kita hanyalah manusia biasa. Kami faham...
Selepas itu, kami ke checkpoint keenam di jeti pendaratan ikan. Di sini, kami diberi masa selama 1 jam sahaja untuk memasak bahan yang disediakan seperti ayam, kubis dan beras. Hasilnya, ayam goreng separuh masak, sayur goreng dan nasi yang berbau asap api. Semuanya sudah terlalu lazat untuk mengisi perut kami yang kosong itu.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran untuk mencari kayu api dan menghidupkan api tersebut di tengah panas mentari yang agak terik membakar kulit, namun berkat kerjasama yang padu dan saling bantu-membantu antara kami semua akhirnya kami mampu tersenyum kekenyangan.
Selepas itu, bermulalah episod yang tidak akan dapat dilupakan iaitu meredah paya bakau. Dengan berbekalkan bau tanah yang semerbak, keletihan yang hampir-hampir membuatkan jalan tersungkur kami terpaksa meredah paya tersebut untuk ke destinasi seterusnya iaitu Taman Rehlah. Memang suatu pengalaman yang cukup mengujakan!
Saya pelajari suatu perkara lagi iaitu kita tidak semestinya berada di dalam kesenangan sepanjang masa kerana hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita akan berada di bawah. Pengalaman makan nasi berlaukkan ayam separuh masak benar-benar menginsafkan saya dan saya bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang untuk hidup pada zaman pasca merdeka ini dan berada di negara Malaysia yang aman dari segala peperangan tidak seperti di Iraq, Bosnia dan sebagainya.
Kami selamat sampai ke tapak perkhemahan pada jam lebih kurang 6 petang. Selepas menguruskan diri,pada malamnya kami diberi peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing pada Malam Kebudayaan. Antara temanya ialah Matematik-Hari Konvokesyen, PAI-Posting, PRA sekolah-Perpaduan Kaum, PJ-Minggu Pengurusan dan Sains-Kebudayaan Malaysia.
Kami bersepakat untuk mendeklamasikan sajak berkenaan dengan ‘Posting’ tersebut. Persembahan yang ‘paling menari’ kami rasakan berbanding dengan kumpulan lain, bertepatan dengan tempat kelima yang kami perolehi. Ini bukanlah bermakna kami tidak berbakat, namun begitu, kami ingin memberi peluang kepada opsyen lain untuk lebih menyerlah… Dan, seperti yang dijangkakan, opsyen Matematik memenangi Malam Kebudayaan tersebut dengan gelagat mereka yang mencuit hati dan memenangi hati para juri.
Pada saya, kesimpulan yang dapat saya perolehi ialah, sebagai seorang guru, kita perlu kreatif daninovatif dalam usaha menarik minat pelajar di dalam kelas kerana setiao orang murid mempunyai ragamnya tersendiri dan bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk mengawalnya.
Sedar tidak sedar sudah empat hari kami berkampung di Taman Rehlah dan hari Ahad, 25 Mei 2008 merupakan hari terakhir kami berada di sana. Melalui LDK kelima yang dikendalikan oleh En. Zaharim b. Tawang yang bertajuk ‘Penghargaan Kendiri dan Perubahan Sikap’ banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Beliau menekankan perlunya kita menghargai kelebihan diri sendiri dan tidak malu untuk berkongsi masalah serta meminta pendapat orang lain berkenaan sesuatu topik yang diutarakan.
Sebelum diadakan majlis perasmian penutup, kami berkumpul di dalam dewan untuk sesi terakhir iaitu sesi refleksi keseluruhan program BIG sesi 1 ini bersama dengan pensyarah. Pelbagai komentar diberi oleh kedua-dua pihak dan semuanya diselesaikan secara damai tanpa ada rasa tidak puas hati antara mana-mana pihak. Selepas itu, majlis perasmian penutup program BIna Insan Guru disempurnakan oleh wakil pengarah Institut Perguruan Kuala Terengganu iaitu Tn. Hj. Hamdan b. Abd. Manaf.
Secara keseluruhannya, berdasarkan pengalaman yang saya dapati sepanjang menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) ini, ia meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya. Segal kenangan indah dan pahit sepanjang erada di sana akan saya abadikan dalam lipatan hidup saya.
Secara jujurnya, saya merasakan bahawa program BIG ini mampu untuk membina jati diri seseorang bakal guru yang mantap dari segenap aspek terutama JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial). Aktiviti BIG juga begitu bermakna kepada bakal pendidik sejajar dengan aspirasi negara dan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi tumpuan penuh kepada penghasian modal insan yang berminda kelas pertama secara menyeluruh dan mampu bersaing dalam arus marcapada sekarang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru serta kepada semua pensyarah pembimbing yang sudi meluangkan waktu cuti mereka untuk bersma-sama kami menjayakan program BIG ini. Saya sangat bersyukur dapat menyertai program ini dan saya mengharapkan agar program-program seperti ini dapat lagi dijalankan agar banyak lagi maklumat dan panduan baru yang akan kami perolehi serta kami boleh sentiasa memperbaiki diri kami dari semasa ke semasa.
Akhir kalam, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu juga datangnya dari Allah tetapi disandarkan ke atas kelemahan diri saya. Semoga kualiti dan mutu tugasan saya dapat ditingkatkan dari masa ke semasa dengan bantuan pensyarah pembimbing dan rakan-rakan seperjuangan.
6:00 PM
|
Labels:
cebisan kenangan
|
.: x Kenal Maka x Cinta :.
- ayman fahym
- hamba Allah di dunia sementara ni...simple jep,kdg2 buat mnde2 x pkir pnjang pown..huhu.. sper yg knal taw la kn?kn?


2 comments:
ms mn wat esei ni...
rjin....
he2...ingt lagi smua xtvt ni dihy..
huheh....
mek refleksi dlu punyer...
=p
Post a Comment