BIG sem 2
Refleksi sem 2 lak...~~hurm



Alhamdulillah, pertama-tama dan selama-lamanya jutaan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya dapat juga saya siapkan laporan dan refleksi perkhemahan Bina Insan Guru (BIG) bagi semester dua Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini pada masa dan tempoh yang ditetapkan.
Seperti yang kita semua sedia maklum, aktiviti Bina Insan Guru sesi kedua ini perlu dilaksanakan sebelum sesi pengajian untuk semester ini berakhir. Selepas mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekelas dan mendapatkan persetujuan semua, kami bertanyakan pendapat tutor kesayangan kami iaitu Tn. Hj. Salleh bin Jusoh dan Cik Hajah Zakiah bt. Abd. Wahab yang lebih mesra disapa ‘umi’ tentang aktiviti BIG kami kali ini. Kami bercadang untuk mengadakan aktiviti khidmat masyarakat di salah sebuah rumah anak yatim di Terengganu ini, iaitu Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong.
Sebelum memutuskan untuk ke asrama anak-anak yatim tersebut, pelbagai cadangan telah diutarakan. Ada yang ingin membuat khidmat masyarakat di Rumah Orang-orang Tua, Wad Psikiatri Hospital Sultanah Zahirah, gotong royong bersihkan kubur dan ada juga yang teringin untuk membersihkan kawasan perkampungan nelayan di tepi-tepi pantai.
Namun, setelah diteliti pro dan kontra yang terdapat antara tempat-tempat tersebut, kami merasakan asrama anak-anak yatim adalah tempat terbaik untuk kami menjalankan program Bina Insan Guru ini. Ini adalah kerana kami merasakan selain membuat kerja-kerja amal, kami juga boleh berkongsi serba sedikit ilmu serta pengalaman yang kami ada dengan penghuni di sana yang majoritinya adalah pelajar sekolah menengah.
Pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa kami hadapi sebelum kami berjaya menjalankan BIG ini. Cabaran yang jelas sudah pastilah untuk mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai dan untuk didermakan kepada anak-anak yatim di asrama tersebut yang sudah pastinya kehilangan tempat bergantung.
Daripada institut ini, Alhamdulillah permohonan kami untuk mengadakan program ini diluluskan oleh tuan timbalan pengarah Institut Perguruan Kuala Terengganu. Terima kasih di atas sumbangan daripada pihak tuan yang sudi membekalkan 5 kilogram beras untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim tersebut. Walaupun tidak seberapa namun, jika tiada sumbangan tersebut sudah pasti rancangan untuk memasak bubur lambuk sebagai juadah moreh untuk mereka akan tergendala. Semoga jasa baik pihak tuan diberkati oleh Allah hendaknya. Amin…
Namun, apa yang menyedihkan kami secara umumnya dan secara peribadi saya sendiri saya berasa ralat dengan mentaliti beberapa individu yang kami jumpai. Rasanya, tidak menjadi kesalahan jika kita meminta sedikit sumbangan daripada mereka-mereka yang lebih berkemampuan untuk sama-sama bersedekah kepada anak-anak yatim yang pastinya amat memerlukan bantuan daripada kita semua.
Apalah salahnya, daripada gaji yang beribu-ribu kita dapati kita sumbangkan seikhlas mungkin seringgit dua untuk mereka? Siapa yang tahu mungkin dengan derma kita yang tidak seberapa untuk mereka itu mampu untuk menahan anggota tubuh kita daripada nyalaan api neraka bukan?
Tidak pernah terlintas pun di sudut atma kami untuk memaksa sesiapa sahaja untuk menyumbangkan wang ringgit mereka. Niat kami cuma sama-sama mengajak sesiapa yang ingin menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka. Kepada yang memahami, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan di atas sumbangan kalian. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan rezekiNya yang tidak terhingga luasnya itu. Buat yang mempersoalkan hasil usaha kami, terima kasih jua kami ucapkan. Semoga Allah mencampakkan sedikit rahmah dan rahimNya ke dalam hati-hati kalian.
Sabda Rasulullah s.a.w:
إذا مات إبن آدم فانقطع عمله الى الثلاثة: صدقة جارية وولد صالح يدعوا له وعلم ينتفع به
Maksudnya:
Apabila meninggal anak Adam maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilimu yang bermanfaat dan anak soleh yang akan mendoakannya.
Berdasarkan pengalaman kami memohon sumbangan daripada orang ramai, dapatlah saya rumuskan bahawa walaupun rambut sama hitam, hati sama merah namun isi hatinya lain-lain. Pengajaran yang saya dapat, bukan mudah untuk meminta belas ihsan orang lain walaupun untuk tujuan kebaikan. Kita perlu berusaha sedaya upaya mungkin untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana bukan semua orang fikir apa yang kita fikir dan bukan semua yang merasai apa yang kita alami…
Cuma, ingin saya ingatkan di sini, untuk diri saya sediri dan sesiapa yang tergerak hati menelusuri apa yang cuba saya sampaikan melalui refleksi ini, semua yang kita miliki hari ini adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Setiap harta yang kita perolehi adalah amanah dariNya dan kita perlu mengagihkan sedikit daripada harta kita yang ada sebagai satu sedekah. Ini adalah kerana, kita sebagai khalifah-Nya perlu memikul amanah sebaik-baiknya.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 271-272:
Maksudnya:
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka Yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh Yang baik). dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa Yang kamu lakukan. Tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
Firman Allah lagi, juga dalam surah al-Baqarah ayat 177:
Maksudnya:
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan Segala malaikat, dan Segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang Yang terlantar Dalam perjalanan, dan kepada orang-orang Yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; Dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang Yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang Yang sabar Dalam masa kesempitan, dan Dalam masa kesakitan, dan juga Dalam masa bertempur Dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang Yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang Yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang Yang bertaqwa.
Setelah mengadakan beberapa kali perbincangan sesama sendiri dan bersama tutor, kami bersepakat memilih tarikh 13 September untuk menjayakan aktiviti BIG ini. Alhamdulillah seawal 8.00 pagi kami memulakan perjalanan ke Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah dan sampai di sana lebih kurang jam 9.00 pagi. Setibanya kami di sana, kami memulakan program yang telah dirancang dengan sebaik-baiknya.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang 14 jam kami berada di sana ialah ceramah motivasi, sesi LDK, gotong royong membuat bubur lambuk, solat berjemaah dan solat terawikh bersama-sama. Alhamdulillah aktiviti kami mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada para penghuni dan pihak pentadbirannya.
Ceramah motivasi telah disampaikan secara bergilir-gilir oleh saudara Amyrudin dan saudara Azrai. Amyrudin telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Akhlak Mulia Ummah Bertaqwa”. Ceramah ini bertujuan untuk memupuk kesedaran semua tentang pentingnya berakhlak dan berpekerti mulia yang akhirnya akan melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Sementara itu, Azrai melalui ceramah motivasinya yang bertajuk “Juara” telah berjaya memotivasikan peserta program tersebut seterusnya menyedari hakikat bahawa setiap daripada kita adalah dilahirkan sebagai juara. Kitalah yang akan mencorakkan ke mana hala tuju kita seterusnya. Harapnya kedua-dua ceramah tersebut akan membekas di dalam jiwa mereka.
Seusai slot ceramah, kami terus pergi kepada agenda yang dirancangkan iaitu sesi LDK (Latihan Dalam Kumpulan). Terdapat 4 LDK dalam program yang kami rancangkan ini. LDK pertama bertajuk ‘Garis Matlamat, kedua ‘Garis Hayat’, ketiga ‘Koreksi Diri’ dan keempat ‘Self-Esteem Board’. Semua ahli kelas kami merupakan fasilitator kecuali Arifuddin dan Jannah kerana mereka berdua ditugaskan sebagai moderator yang akan menyelia kelancaran perjalan aktiviti LDK ini.
Melalui LDK pertama iaitu ‘Garis Matlamat’, pada mulanya, para peserta diarahkan supaya membuat satu garisan yang lurus tanpa ada tujuan yang khusus sambil-sambil saya memulakan sesi perkenalan dengan ahli kumpulan. Setelah selesai, saya meminta mereka membuat satu garisan yang lurus juga tetapi biarlah garisan tersebut mampu membentuk sebuah rumah. Melaluinya dapat saya rumuskan melalui LDK tersebut ialah, setiap apa yang ingin kita lakukan memerlukan kepada matlamat yang jelas.tanpa matlamat yang jelas, hidup akan terumbang-ambing seperti buih-buih di lautan yang tiada prinsip dan pegangan hidup yang kuat.
LDK kedua pula yang bertajuk ‘Garis Hayat’ membincangkan mengenai perancangan masa depan. Melalui slof ini saya dapat lihat matlamat dan perancangan apa yang ingin dibuat oleh para peserta hingga jangka msa hayat mereka tamat. Ada yang ingin menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dan ada yang bercita-cita untuk membuka sebuah lagi asrama anak yatim yang seumpama dengan tempat tersebut.
Dalam perkataan lainnya, hidup ini memerlukan matlamat hidup yang jelas. Bukanlah manusia yang normal jika hidup tanpa ada misi dan visi yang tertentu. Sebagai contoh, pada umur 27 tahun, kita ingin mendapatkan segulung pHd, secara tidak langsung kita akan bermotivasi dan bersemangat untuk mencapai matlamat yang kita inginkan seperti yang telah digariskan di dalam garis matlamat tersebut.
Pada sebelah petangnya lebih kurang pada jam 2 petang selepas solat fardhu Zohor secara berjemaah, kami menyambung sesi LDK. LDK ketiga bertajuk ‘Koreksi Diri’ meminta para peserta memilih rakan-rakan yang paling mereka rapat di asrama ini.
LDK ini yang saya rasa secara personal agak berjaya dan meninggalkan kesan di hati saya. Apabila mereka telah berada di dalam satu kumpulan kecil yang mengandungi insan-insan yang paling rapat dengan mereka, kami meminta seorang yang secara sukarela, saya namakan sebagai A berada di tengah-tengah kumpulan mereka. Kawan-kawan yang berada di sekeliling A dikehendaki untuk menyenaraikan dan menyatakan seberapa banyak keburukan yang terdapat pada diri A. begitulah seterusnya sehinggalah selesai kesemua ahli dalam kumpulan masing-masing.
Di sini kedengaran pelbagai esak tangis daripda mereka yang diselangi dengan lagu-lagu mendayu yang menyentuh perasaan. LDK ini berjaya diimplementasikan dalam kalangan peserta perempuan dan agak mengecewakan bagi peserta lelaki. Ini adalah mungkin kerana emosi perempuan lebih mudah tersentuh dan terusik berbanding dengan lelaki. Apakah tujuan kami merangka LDK sebegini?
Ini adalah disebabkan oleh kami ingin mereka semua menyedari bahawa sahabat adalah insan yang paling rapat dengan diri mereka sepanjang menjadi penghuni di Asrama Anak Yatim Darul Falah tersebut sementelah lagi kebanyakan daripada mereka merupakan yatim piatu yang memang tiada dahan untuk bergantung hidup. Kami ingin mewujudkan perasaan untuk lebih menyayangi sahabat-sahabat mereka, dan apabila mereka saling sayang-menyayangi, mereka tidak akan sanggup membiarkan sahabat mereka yang lain berada di dalam kesesatan.
Kata pepatah, sahabat yang baik ialah sahabat yang mampu menegur kesilapan yang dilakukan oleh sahabat-sahabatnya dan sahabat merupakan cerminan bagi sahabatnya. Kami juga ingin mereka mengerti bahawa sahabat yang baik ialah sahabat yang mampu berkata benar sekalipun kebenaran yang diperkatakan itu adalah pahit untuk ditelan. LDK ini juga turut mengherat saya dalam menyedari keikhlasan dalam bersahabat. Kadang-kadang apa yang kita zahirkan tidak sama dengan apa yang tersirat di dasar hati…
Setelah itu, LDK terakhir yang dinamakan sebagai ‘Self-Esteem Board’ diadakan sebagai penutup kepada LDK secara keseluruhannya dan sebagai pendamai untuk menyejukkan hati mereka yang masing-masing di dalam kesedihan. Mengikut pandangan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang juga bidang pengajiannya menjurus kepada psikologi iaitu Encik Yahya bin Osman, beliau mengatakan, apabila kita menyentuh sensitiviti dan perasaan orang yang kita harap untuk berubah kita perlu mendamaikannya kembali. Kita tidak boleh membiarkan semangat mereka terus jatuh menjunam tanpa ada usaha untuk memulihkannya kembali.
Oleh yang demikian, ‘Self-Esteem Board’ membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk sama-sama memperbaiki diri secara tidak langsung. Jika melalui aktiviti LDK yang ketiga mereka ditegur dan dikritik oleh kawan-kawan yang rapat dengan mereka, LDK yang keempat adalah sebaliknya pula. Melalui slot ‘Self-Esteem Board’ mereka diminta untuk menyenaraikan seberapa banyak kebaikan dan keistimewaan yang terdapat pada diri sahabat mereka. Apabila pengerusi majlis memanggil individu yang bertuah untuk membaca keistimewaan yang telah dinyatakan oleh rakan-rakan mereka, suasana menjadi riuh rendah dengan gelak ketawa mereka tetapi masih rapat kami kawal keadaannya.
Sesi LDK berakhir pada jam 4.30 petang. Selepas itu, kami bersama-sama para peserta mengerjakan solat Asar secara berjemaah di surau asrama Darul Falah tersebut. Selepas solat, kami bersama-sama para penghuni asrama tersebut saling bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sebagai juadah hidangan selepas solat terawikh (moreh). Disebabkan terlalu ramai yang ingin membantu memasak bersama-sama dan memenuhi kawasan dapur asrama, kami dinasihatkan supaya memilih beberapa rang sahaja untuk berada di dapur. Oleh yang demikian, ‘Amirah dan Jannah telah dilantik dan diamanahkan untuk menyiapkannya dan Alhamdulillah segalanya dapat diselesaikan dengan sempurna oleh mereka berdua.
Sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa, saya mengambil kesempatan untuk ke bilik penginapan penghuni-penghuni tersebut untuk melihat sebahagian daripada cara hidup mereka di sana. Selain itu, saya juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan beberapa orang penghuni yang saya jumpai tentang pengalamannya, tahap pendidikan, bilangan adik-beradik dan perasaan mereka yang kehilangan ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali.
Saya dapat bayangkan perasaan mereka kerana saya pernah mengalami situasi kehilangan insan tersayang. Perasaan saya tersentuh melihat penghuni-penghuni cilik yang berada di sana, lantas saya terbayangkan adik saya di rumah. Ibu kesayangan kami dijemput Ilahi ke rahmatullah ketika adik saya yang paling bongsu berumur 7 tahun ketika itu. saya dapat memahami dan menyelami perasaan mereka kerana saya jua berada di dalam situasi mereka. Mungkin mereka agak mewah dengan pelbagai sumbangan daripada orang perseorangan dan badan-badan korporat namun mereka agak ketandusan dari segi kasih sayang.
Kasih sayang orang luar tidak akan dapat mengatasi kasih sayang ibu dan ayah kandung sejati. Contohnya seperti kami sendiri, kami berada di sana selama 14 jam, berjaya menyemai perasaan sayang dengan mereka namun, hanya 14 jam kami bersama dengan mereka. Keesokan harinya, perasaan itu mungkin masih wujud, tapi bayangkan untuk jangka masa 20 tahun lagi, adakah perasaan itu masih tetap sama? Benarlah kata orang, kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa membawa bahagia, manakan sama dengan kasih insan lain…
Seusai berbuka puasa beramai-ramai, kami bersama-sama mengerjakan solat fardhu Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Arifuddin. Selepas solat Maghrib, untuk mengisi masa yang terluang dan memenuhi kriteria program BIG yang memerlukan kepada ceramah, ‘abi’ kami yang amat dihormati, Tuan Haji Salleh bin Jusoh memberikan kuliah Maghrib yang lebih menjurus kepada keistimewaan bulan Ramadhan al-Mubarak. Selepas itu, kami sama-sama mngerjakan solat sunat terawikh yang diimami oleh Syadid Habibullah.
Selepas mengadakan sedikit jamuan perpisahan dan memberikan sumbangan daripada orang ramai kepada wakil pentadbir asrama tersebut dan menyampaikan cenderamata daripada pihak kami, PISMP PIM semester 2 dan menjamah bubur lambuk yang dimasak pada petang harinya serta bersalam-salaman besama-sama mereka, kami berangkat pulang ke Institut Perguruan Kuala Terengganu pada jam 10.30 malam.
Sebagai kesimpulan, secara keseluruhannya, berdasarkan pengalaman yang saya dapati sepanjang menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) , ia meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya Sesungguhnya pengalaman dan kenangan sebelum, semasa dan selepas program BIG tersebut mencambahkan pelbagai momen yang akan terpatri di dalam celahan lipatan hidup saya. Semoga aktiviti yang kami lakukan ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Secara jujurnya, saya merasakan bahawa program BIG ini mampu untuk membina jati diri seseorang bakal guru yang mantap dari segenap aspek terutama JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial). Aktiviti BIG juga begitu bermakna kepada bakal pendidik sejajar dengan aspirasi negara dan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi tumpuan penuh kepada penghasian modal insan yang berminda kelas pertama secara menyeluruh dan mampu bersaing dalam arus marcapada sekarang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru. Selain itu, kepada pihak Institut Perguruan Kuala Terengganu terutama Tuan Timbalan Pengarah, Encik Mohamad bin Ngah kerana sudi meluluskan program BIG kami serta kepada tutor kesayangan kami iaitu ’abi’, Tuan Haji Salleh bin Jusoh dan ’umi’, Cik Hajah Zakiah binti Abd. Wahab untuk bersama-sama kami menjayakan program BIG ini. Tidak dilupakan juga kepada pihak pentadbir asrama Darul Falah, terima kasih di atas kesudian menerima kehadiran kami.
Saya sangat bersyukur dapat menyertai program ini dan saya mengharapkan agar program-program seperti ini dapat lagi dijalankan agar banyak lagi maklumat dan panduan baru yang akan kami perolehi serta kami boleh sentiasa memperbaiki diri kami dari semasa ke semasa.
Akhir kalam, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu juga datangnya dari Allah tetapi disandarkan ke atas kelemahan diri saya. Semoga kualiti dan mutu tugasan saya dapat ditingkatkan dari masa ke semasa dengan bantuan pensyarah pembimbing dan rakan-rakan seperjuangan.
Wallahu a’lam.
6:37 PM
|
Labels:
cebisan kenangan
|
.: x Kenal Maka x Cinta :.
- ayman fahym
- hamba Allah di dunia sementara ni...simple jep,kdg2 buat mnde2 x pkir pnjang pown..huhu.. sper yg knal taw la kn?kn?


2 comments:
diriku pon rs besyukur gak...
man lupe nk gtaw tokma sy suh dtg smua raye ke-4 nnt...
mf...jrg2 pgang hset...he2..driku mls nk menaip msj
heheh...
yela 2
padahal sedey pokwe dok jaoh...
sabo neh...
ckup 54 hr dy blik la ke mlysia tnah air terchenta nih...
Post a Comment