B.G.B (part 1)
B.G.B?
Huha...xda pe nk dicoretkan hr ni...mls nk perah2 idea yg jiwang2..ekeke...korang layan je la gambar2 ni yep..gambar2 kenangan semasa menjalankan projek internship:rehlah ukhuwah..dk kt negeri penyu ni banyak tempat yg bley dilawati sebenarnya.hurm, dr wat projek ni banyak benda gak sy belajar kalo nk bawak student kuar ikot rombongan...nk kena citer ke?len kali la eh, tyme otak relek2 sket..hehe...
skang ni...
..................
.................
................
...............
..............
.............
............
...........
..........
.........
........
.......
......
.....
....
...
..
.
B.G.B!!! (Bio Gambo Bercerita!!!)
B.G.B (part 1-sekitar Nor Arfa Batik)
~sesi taklimat semasa kt nor arfa batik oleh pengarah pwojek...eheh~
~merakam kenangan bersama 'makcik anyaman'~
~bersama abang blok batik yg kontol macho..kui2~
~ngan akak 'DIY batik'...cenyum yer akak...=)~
~akak chanting batik yg sporting sgt2....~
~urk,kitorang xda skendel yep...ni pak cik penyambut tetamu~
~wif PK 1 yg super duper sporting!!~
~ngan mentor yg memahami =)~
~trimas akak...len kali kitorg datang menyepahkan nor arfa batik ni lg yep...ngee~
~nk balik dh...bubbye...*clap2~
p/s:
penat rupanya nk upload gambar2 ni...hoho...nantikan gambar2 di lokasi kedua program rehlah ukhuwah ni yep!!
10:18 AM | Labels: cebisan kenangan, suka suki guru pelatih | 0 Comments
BIG sem 3
Refleksi sem 3 yep...~huu




Alhamdulillah, pertama-tama dan selama-lamanya jutaan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya dapat juga saya siapkan laporan dan refleksi aktiviti khidmat masyarakat Bina Insan Guru (BIG) bagi semester tiga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini pada masa dan tempoh yang ditetapkan.
Seperti yang kita semua sedia maklum, aktiviti Bina Insan Guru sesi ketiga ini perlu dilaksanakan sebelum sesi pengajian untuk semester ini berakhir. Selepas mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekelas dan mendapatkan persetujuan semua, kami bertanyakan pendapat tutor kesayangan kami iaitu Puan Yuslaini Yunus dan Cik Nur Hijrah Zakaria tentang aktiviti BIG kami kali ini. Kami bercadang untuk mengadakan aktiviti khidmat masyarakat di pesisiran Pantai Batu Rakit dan Masjid Mengabang Telipot.
Sebelum memutuskan untuk ke kedua-dua tempat tersebut, pelbagai cadangan telah diutarakan. Ada yang ingin membuat khidmat masyarakat di Rumah Orang-orang Tua, Wad Psikiatri Hospital Sultanah Zahirah, gotong royong bersihkan kubur dan ada juga yang teringin untuk mengadakan lawatan ke rumah anak-anak yatim.
Namun, setelah diteliti pro dan kontra yang terdapat antara tempat-tempat tersebut, kami merasakan pesisiran Pantai Batu Rakit dan Masjid Mengabang Telipot adalah tempat terbaik untuk kami menjalankan program Bina Insan Guru ini. Ini adalah kerana kami merasakan selain membuat kerja-kerja amal, masa juga amat mencemburui kami lantaran masih banyak tugas yang menuntut komitmen kami semua.
Pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa kami hadapi sebelum kami berjaya menjalankan BIG ini. Alhamdulillah, permohonan kami untuk mengadakan program ini diluluskan oleh tuan timbalan pengarah Institut Perguruan Kuala Terengganu. Cabaran yang jelas sudah pastilah untuk mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai aktiviti yang akan dilaksanakan dan untuk didermakan kepada pihak masjid. Namun, bagi saya dan rakan-rakan, tanggungjawab sebagai seorang pelajar harus ditamakan terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi, program ini amat penting untuk membina jati diri seorang guru. Ini bersesuaian sekali dengan nama programnya, Bina Insan Guru ( BIG ) yang telah ditetapkan oleh BPG dan kepada kami, bakal-bakal warga pendidik yang cemerlang pada masa akan datang. InsyaAllah…
Setelah puas memikirkan pelbagai cara yang akan kami ambil untuk menampung kos aktiviti yang akan dilaksanakan, kami sepakat untuk mengutip wang daripada ahli kelas kami. Benarlah janji Allah s.w.t., urusan baik yang ingin dilaksanakan pasti mendapat keberkatan daripadaNya. biarlah kami berhabis di dunia sementara ini untuk mendapatkan ‘sesuatu’ yang lebih bermakna di sana nanti…
Sabda Rasulullah s.a.w:
Apabila meninggal anak Adam maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilimu yang bermanfaat dan anak soleh yang akan mendoakannya.
Setelah mengadakan beberapa kali perbincangan sesama sendiri dan bersama tutor, kami bersepakat memilih tarikh 12 April 2009, hari Jumaat untuk menjayakan aktiviti BIG ini. Alhamdulillah seawal 8.00 pagi kami memulakan perjalanan ke pesisiran Pantai Batu Rakit dan sampai lebih kurang jam 8.30 pagi. Kami diberi taklimat oleh Penolong Ketua Unit, saudari Syahirah berkenaan dengan aktiviti yang akan dijalankan sepanjang hari tersebut.
Seusai taklimat, kami dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki mengutip sampah sepanjang persisiran pantai dan mengikut perancangannya, kumpulan yang mengumpulkan sampah terbanyak akan dikira sebagai pemenang. Kami semua bergotong-royong dengan jayanya membersihkan persisiran pantai walaupun matahari semakin terik memancarkan sinarnya. Di samping itu juga, mungkin inilah masanya untuk kami merapatkan lagi hubungan di antara kami, rakan sekelas setelah berpenat lelah menghadiri kuliah sepanjang minggu.
Pada jam 9 pagi, kami berhenti rehat seketika untuk menikmati makan pagi yang telah disediakan. Sambil menikmati juadah, kami bertegur sapa dengan penduduk kampung yang turut serta di pantai pada pagi itu. Mereka memuji usaha kami sekelas membersihkan persisiran pantai yang pada pandangan mereka, kelihatan agak tidak terjaga itu. Ini merupakan satu penghargaan buat kami dan apa yang paling penting, kami dapat beramah mesra dengan penduduk kampung. Ini merupakan peluang berharga buat kami semua.
Aktiviti gotong-royong kami diserikan dengan kelibat nelayan yang baru pulang dari laut menangkap ikan. Kami semua dapat merasai penat jerih nelayan yang baru pulang. Mereka turut menzahirkan perasaan gembira apabila ada orang yang tersayang sedang menunggu mereka dengan senyuman. Selain itu, banyak perkara baru yang berpeluang kami pelajari seperti mengasingkan ikan daripada jala dan belajar untuk mengenali nama-nama ikan yang jarang kami temui sebelum ini.
Kami mengumpulkan sampah-sampah yang berjaya kami kutip pada suatu kawasan. Setelah berpuas hati dengan ‘perubahan kawasan’ pantai, kami sekelas turun ke gigi air untuk bermain air. Kami membina istana pasir di dalam kumpulan dan perlu mempertahankan istana kami daripada ‘serangan’ pihak lawan. Setelah siap membina istana, aktiviti ‘serang-menyerang’ pun bermula. Aktiviti sampingan ini kami lakukan dengan perasaan yang riang gembira. Saya melihat aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan dan ukhwah antara kami semua.
Setelah bergembira, kami bersiap untuk pulang ke asrama. Sampah-sarap yang berjaya dikutip dibuang ke dalam tong sampah yang berkaitan. Kami semua bersiap untuk makan, solat dan sebagainya bagi menyambung lagi aktiviti gotong-royong kami di Masjid Mengabang Telipot seusai solat Jumaat. Aktiviti berakhir tepat jam 12 tengah hari.
Selepas membersihkan diri, menikmati sajian tengah hari dan solat zohor secara berjemaah (muslimat sahaja), kami sekelas bergerak menuju Masjid Mengabang Telipot yang terletak kira-kira 700 meter dari pantai untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang seteruanya. Setibanya kami di sana, kami memulakan program yang telah dirancang dengan sebaik-baiknya.
Pelajar lelaki yang terdiri daripada Naim, Wafiy, Arif dan Amer mengambil tempat mereka untuk menebas semak samun yang berada di perkarangan masjid sementara Azrai, Izzuddin, Nabiil dan Syadid membersihkan kawasan perkuburan yang berada berhampiran masjid. Pelbagai gelagat mereka yang dapat dilihat. Ada yang terkial-kial memegang parang dan ada yang berbakat besar dalam berkebun.
Pelajar perempuan yang terdiri daripada saya sendiri, Hafizah, Nurlina, ‘Amirah, Jannah, Syuhada, Syahirah, Norasikin dan Aishah membahagikan tugas membersihkan kawasan masjid. Ada yang mevakum permaidani di dalam masjid, melipat pakaian solat, membersihkan tingkap, membersihkan tandas dan sebagainya. Kami semua bekerjasama memastikan agar semua tugasan yang kami laksanakan ini betul-betul dapat memberikan manfaat kepada semua penduduk kampung di sini.
Semua tugasan ini kami siapkan sebelum Asar menjelang tiba. Seusai azan Asar dikumandangkan oleh saudara Nabiil, kami semua menunaikan solat fardhu Asar bersama-sama dengan penduduk kampung. Selepas itu, kami minum petang bersama-sama dengan tuan imam dan bilal masjid yang banyak memberikan dorongan untuk kami melakukan aktiviti khidmat masyarakat ini.
Sebagai kesimpulan, secara keseluruhannya, berdasarkan pengalaman yang saya dapati sepanjang menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) , ia meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya Sesungguhnya pengalaman dan kenangan sebelum, semasa dan selepas program BIG tersebut mencambahkan pelbagai momen yang akan terpatri di dalam celahan lipatan hidup saya. Semoga aktiviti yang kami lakukan ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Secara jujurnya, saya merasakan bahawa program BIG ini mampu untuk membina jati diri seseorang bakal guru yang mantap dari segenap aspek terutama JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial). Aktiviti BIG juga begitu bermakna kepada bakal pendidik sejajar dengan aspirasi negara dan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi tumpuan penuh kepada penghasian modal insan yang berminda kelas pertama secara menyeluruh dan mampu bersaing dalam arus marcapada sekarang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru. Selain itu, kepada pihak Institut Perguruan Kuala Terengganu terutama Tuan Pengarah, Encik Mohamad bin Ngah kerana sudi meluluskan program BIG kami serta kepada tutor kesayangan kami iaitu ’umi’ kami berdua iaitu Puan Yuslaini Yunus dan Cik Nur Hijrah Zakaria untuk bersama-sama kami menjayakan program BIG ini. Tidak dilupakan juga kepada pihak pengurusan Masjid Mengabang Telipot, penduduk kampung dan sesiapa sahaja yang menjayakan program kami ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, terima kasih di atas kesudian menerima kehadiran kami.
Saya sangat bersyukur dapat menyertai program ini dan saya mengharapkan agar program-program seperti ini dapat lagi dijalankan agar banyak lagi maklumat dan panduan baru yang akan kami perolehi serta kami boleh sentiasa memperbaiki diri kami dari semasa ke semasa.
Akhir kalam, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu juga datangnya dari Allah tetapi disandarkan ke atas kelemahan diri saya. Semoga kualiti dan mutu tugasan saya dapat ditingkatkan dari masa ke semasa dengan bantuan pensyarah pembimbing dan rakan-rakan seperjuangan.
8:59 PM | Labels: cebisan kenangan | 10 Comments
BIG sem 2
Refleksi sem 2 lak...~~hurm



Alhamdulillah, pertama-tama dan selama-lamanya jutaan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya dapat juga saya siapkan laporan dan refleksi perkhemahan Bina Insan Guru (BIG) bagi semester dua Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini pada masa dan tempoh yang ditetapkan.
Seperti yang kita semua sedia maklum, aktiviti Bina Insan Guru sesi kedua ini perlu dilaksanakan sebelum sesi pengajian untuk semester ini berakhir. Selepas mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekelas dan mendapatkan persetujuan semua, kami bertanyakan pendapat tutor kesayangan kami iaitu Tn. Hj. Salleh bin Jusoh dan Cik Hajah Zakiah bt. Abd. Wahab yang lebih mesra disapa ‘umi’ tentang aktiviti BIG kami kali ini. Kami bercadang untuk mengadakan aktiviti khidmat masyarakat di salah sebuah rumah anak yatim di Terengganu ini, iaitu Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong.
Sebelum memutuskan untuk ke asrama anak-anak yatim tersebut, pelbagai cadangan telah diutarakan. Ada yang ingin membuat khidmat masyarakat di Rumah Orang-orang Tua, Wad Psikiatri Hospital Sultanah Zahirah, gotong royong bersihkan kubur dan ada juga yang teringin untuk membersihkan kawasan perkampungan nelayan di tepi-tepi pantai.
Namun, setelah diteliti pro dan kontra yang terdapat antara tempat-tempat tersebut, kami merasakan asrama anak-anak yatim adalah tempat terbaik untuk kami menjalankan program Bina Insan Guru ini. Ini adalah kerana kami merasakan selain membuat kerja-kerja amal, kami juga boleh berkongsi serba sedikit ilmu serta pengalaman yang kami ada dengan penghuni di sana yang majoritinya adalah pelajar sekolah menengah.
Pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa kami hadapi sebelum kami berjaya menjalankan BIG ini. Cabaran yang jelas sudah pastilah untuk mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai dan untuk didermakan kepada anak-anak yatim di asrama tersebut yang sudah pastinya kehilangan tempat bergantung.
Daripada institut ini, Alhamdulillah permohonan kami untuk mengadakan program ini diluluskan oleh tuan timbalan pengarah Institut Perguruan Kuala Terengganu. Terima kasih di atas sumbangan daripada pihak tuan yang sudi membekalkan 5 kilogram beras untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim tersebut. Walaupun tidak seberapa namun, jika tiada sumbangan tersebut sudah pasti rancangan untuk memasak bubur lambuk sebagai juadah moreh untuk mereka akan tergendala. Semoga jasa baik pihak tuan diberkati oleh Allah hendaknya. Amin…
Namun, apa yang menyedihkan kami secara umumnya dan secara peribadi saya sendiri saya berasa ralat dengan mentaliti beberapa individu yang kami jumpai. Rasanya, tidak menjadi kesalahan jika kita meminta sedikit sumbangan daripada mereka-mereka yang lebih berkemampuan untuk sama-sama bersedekah kepada anak-anak yatim yang pastinya amat memerlukan bantuan daripada kita semua.
Apalah salahnya, daripada gaji yang beribu-ribu kita dapati kita sumbangkan seikhlas mungkin seringgit dua untuk mereka? Siapa yang tahu mungkin dengan derma kita yang tidak seberapa untuk mereka itu mampu untuk menahan anggota tubuh kita daripada nyalaan api neraka bukan?
Tidak pernah terlintas pun di sudut atma kami untuk memaksa sesiapa sahaja untuk menyumbangkan wang ringgit mereka. Niat kami cuma sama-sama mengajak sesiapa yang ingin menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka. Kepada yang memahami, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan di atas sumbangan kalian. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan rezekiNya yang tidak terhingga luasnya itu. Buat yang mempersoalkan hasil usaha kami, terima kasih jua kami ucapkan. Semoga Allah mencampakkan sedikit rahmah dan rahimNya ke dalam hati-hati kalian.
Sabda Rasulullah s.a.w:
إذا مات إبن آدم فانقطع عمله الى الثلاثة: صدقة جارية وولد صالح يدعوا له وعلم ينتفع به
Maksudnya:
Apabila meninggal anak Adam maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilimu yang bermanfaat dan anak soleh yang akan mendoakannya.
Berdasarkan pengalaman kami memohon sumbangan daripada orang ramai, dapatlah saya rumuskan bahawa walaupun rambut sama hitam, hati sama merah namun isi hatinya lain-lain. Pengajaran yang saya dapat, bukan mudah untuk meminta belas ihsan orang lain walaupun untuk tujuan kebaikan. Kita perlu berusaha sedaya upaya mungkin untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana bukan semua orang fikir apa yang kita fikir dan bukan semua yang merasai apa yang kita alami…
Cuma, ingin saya ingatkan di sini, untuk diri saya sediri dan sesiapa yang tergerak hati menelusuri apa yang cuba saya sampaikan melalui refleksi ini, semua yang kita miliki hari ini adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Setiap harta yang kita perolehi adalah amanah dariNya dan kita perlu mengagihkan sedikit daripada harta kita yang ada sebagai satu sedekah. Ini adalah kerana, kita sebagai khalifah-Nya perlu memikul amanah sebaik-baiknya.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 271-272:
Maksudnya:
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka Yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh Yang baik). dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa Yang kamu lakukan. Tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
Firman Allah lagi, juga dalam surah al-Baqarah ayat 177:
Maksudnya:
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan Segala malaikat, dan Segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang Yang terlantar Dalam perjalanan, dan kepada orang-orang Yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; Dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang Yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang Yang sabar Dalam masa kesempitan, dan Dalam masa kesakitan, dan juga Dalam masa bertempur Dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang Yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang Yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang Yang bertaqwa.
Setelah mengadakan beberapa kali perbincangan sesama sendiri dan bersama tutor, kami bersepakat memilih tarikh 13 September untuk menjayakan aktiviti BIG ini. Alhamdulillah seawal 8.00 pagi kami memulakan perjalanan ke Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah dan sampai di sana lebih kurang jam 9.00 pagi. Setibanya kami di sana, kami memulakan program yang telah dirancang dengan sebaik-baiknya.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang 14 jam kami berada di sana ialah ceramah motivasi, sesi LDK, gotong royong membuat bubur lambuk, solat berjemaah dan solat terawikh bersama-sama. Alhamdulillah aktiviti kami mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada para penghuni dan pihak pentadbirannya.
Ceramah motivasi telah disampaikan secara bergilir-gilir oleh saudara Amyrudin dan saudara Azrai. Amyrudin telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Akhlak Mulia Ummah Bertaqwa”. Ceramah ini bertujuan untuk memupuk kesedaran semua tentang pentingnya berakhlak dan berpekerti mulia yang akhirnya akan melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Sementara itu, Azrai melalui ceramah motivasinya yang bertajuk “Juara” telah berjaya memotivasikan peserta program tersebut seterusnya menyedari hakikat bahawa setiap daripada kita adalah dilahirkan sebagai juara. Kitalah yang akan mencorakkan ke mana hala tuju kita seterusnya. Harapnya kedua-dua ceramah tersebut akan membekas di dalam jiwa mereka.
Seusai slot ceramah, kami terus pergi kepada agenda yang dirancangkan iaitu sesi LDK (Latihan Dalam Kumpulan). Terdapat 4 LDK dalam program yang kami rancangkan ini. LDK pertama bertajuk ‘Garis Matlamat, kedua ‘Garis Hayat’, ketiga ‘Koreksi Diri’ dan keempat ‘Self-Esteem Board’. Semua ahli kelas kami merupakan fasilitator kecuali Arifuddin dan Jannah kerana mereka berdua ditugaskan sebagai moderator yang akan menyelia kelancaran perjalan aktiviti LDK ini.
Melalui LDK pertama iaitu ‘Garis Matlamat’, pada mulanya, para peserta diarahkan supaya membuat satu garisan yang lurus tanpa ada tujuan yang khusus sambil-sambil saya memulakan sesi perkenalan dengan ahli kumpulan. Setelah selesai, saya meminta mereka membuat satu garisan yang lurus juga tetapi biarlah garisan tersebut mampu membentuk sebuah rumah. Melaluinya dapat saya rumuskan melalui LDK tersebut ialah, setiap apa yang ingin kita lakukan memerlukan kepada matlamat yang jelas.tanpa matlamat yang jelas, hidup akan terumbang-ambing seperti buih-buih di lautan yang tiada prinsip dan pegangan hidup yang kuat.
LDK kedua pula yang bertajuk ‘Garis Hayat’ membincangkan mengenai perancangan masa depan. Melalui slof ini saya dapat lihat matlamat dan perancangan apa yang ingin dibuat oleh para peserta hingga jangka msa hayat mereka tamat. Ada yang ingin menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dan ada yang bercita-cita untuk membuka sebuah lagi asrama anak yatim yang seumpama dengan tempat tersebut.
Dalam perkataan lainnya, hidup ini memerlukan matlamat hidup yang jelas. Bukanlah manusia yang normal jika hidup tanpa ada misi dan visi yang tertentu. Sebagai contoh, pada umur 27 tahun, kita ingin mendapatkan segulung pHd, secara tidak langsung kita akan bermotivasi dan bersemangat untuk mencapai matlamat yang kita inginkan seperti yang telah digariskan di dalam garis matlamat tersebut.
Pada sebelah petangnya lebih kurang pada jam 2 petang selepas solat fardhu Zohor secara berjemaah, kami menyambung sesi LDK. LDK ketiga bertajuk ‘Koreksi Diri’ meminta para peserta memilih rakan-rakan yang paling mereka rapat di asrama ini.
LDK ini yang saya rasa secara personal agak berjaya dan meninggalkan kesan di hati saya. Apabila mereka telah berada di dalam satu kumpulan kecil yang mengandungi insan-insan yang paling rapat dengan mereka, kami meminta seorang yang secara sukarela, saya namakan sebagai A berada di tengah-tengah kumpulan mereka. Kawan-kawan yang berada di sekeliling A dikehendaki untuk menyenaraikan dan menyatakan seberapa banyak keburukan yang terdapat pada diri A. begitulah seterusnya sehinggalah selesai kesemua ahli dalam kumpulan masing-masing.
Di sini kedengaran pelbagai esak tangis daripda mereka yang diselangi dengan lagu-lagu mendayu yang menyentuh perasaan. LDK ini berjaya diimplementasikan dalam kalangan peserta perempuan dan agak mengecewakan bagi peserta lelaki. Ini adalah mungkin kerana emosi perempuan lebih mudah tersentuh dan terusik berbanding dengan lelaki. Apakah tujuan kami merangka LDK sebegini?
Ini adalah disebabkan oleh kami ingin mereka semua menyedari bahawa sahabat adalah insan yang paling rapat dengan diri mereka sepanjang menjadi penghuni di Asrama Anak Yatim Darul Falah tersebut sementelah lagi kebanyakan daripada mereka merupakan yatim piatu yang memang tiada dahan untuk bergantung hidup. Kami ingin mewujudkan perasaan untuk lebih menyayangi sahabat-sahabat mereka, dan apabila mereka saling sayang-menyayangi, mereka tidak akan sanggup membiarkan sahabat mereka yang lain berada di dalam kesesatan.
Kata pepatah, sahabat yang baik ialah sahabat yang mampu menegur kesilapan yang dilakukan oleh sahabat-sahabatnya dan sahabat merupakan cerminan bagi sahabatnya. Kami juga ingin mereka mengerti bahawa sahabat yang baik ialah sahabat yang mampu berkata benar sekalipun kebenaran yang diperkatakan itu adalah pahit untuk ditelan. LDK ini juga turut mengherat saya dalam menyedari keikhlasan dalam bersahabat. Kadang-kadang apa yang kita zahirkan tidak sama dengan apa yang tersirat di dasar hati…
Setelah itu, LDK terakhir yang dinamakan sebagai ‘Self-Esteem Board’ diadakan sebagai penutup kepada LDK secara keseluruhannya dan sebagai pendamai untuk menyejukkan hati mereka yang masing-masing di dalam kesedihan. Mengikut pandangan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang juga bidang pengajiannya menjurus kepada psikologi iaitu Encik Yahya bin Osman, beliau mengatakan, apabila kita menyentuh sensitiviti dan perasaan orang yang kita harap untuk berubah kita perlu mendamaikannya kembali. Kita tidak boleh membiarkan semangat mereka terus jatuh menjunam tanpa ada usaha untuk memulihkannya kembali.
Oleh yang demikian, ‘Self-Esteem Board’ membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk sama-sama memperbaiki diri secara tidak langsung. Jika melalui aktiviti LDK yang ketiga mereka ditegur dan dikritik oleh kawan-kawan yang rapat dengan mereka, LDK yang keempat adalah sebaliknya pula. Melalui slot ‘Self-Esteem Board’ mereka diminta untuk menyenaraikan seberapa banyak kebaikan dan keistimewaan yang terdapat pada diri sahabat mereka. Apabila pengerusi majlis memanggil individu yang bertuah untuk membaca keistimewaan yang telah dinyatakan oleh rakan-rakan mereka, suasana menjadi riuh rendah dengan gelak ketawa mereka tetapi masih rapat kami kawal keadaannya.
Sesi LDK berakhir pada jam 4.30 petang. Selepas itu, kami bersama-sama para peserta mengerjakan solat Asar secara berjemaah di surau asrama Darul Falah tersebut. Selepas solat, kami bersama-sama para penghuni asrama tersebut saling bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sebagai juadah hidangan selepas solat terawikh (moreh). Disebabkan terlalu ramai yang ingin membantu memasak bersama-sama dan memenuhi kawasan dapur asrama, kami dinasihatkan supaya memilih beberapa rang sahaja untuk berada di dapur. Oleh yang demikian, ‘Amirah dan Jannah telah dilantik dan diamanahkan untuk menyiapkannya dan Alhamdulillah segalanya dapat diselesaikan dengan sempurna oleh mereka berdua.
Sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa, saya mengambil kesempatan untuk ke bilik penginapan penghuni-penghuni tersebut untuk melihat sebahagian daripada cara hidup mereka di sana. Selain itu, saya juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan beberapa orang penghuni yang saya jumpai tentang pengalamannya, tahap pendidikan, bilangan adik-beradik dan perasaan mereka yang kehilangan ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali.
Saya dapat bayangkan perasaan mereka kerana saya pernah mengalami situasi kehilangan insan tersayang. Perasaan saya tersentuh melihat penghuni-penghuni cilik yang berada di sana, lantas saya terbayangkan adik saya di rumah. Ibu kesayangan kami dijemput Ilahi ke rahmatullah ketika adik saya yang paling bongsu berumur 7 tahun ketika itu. saya dapat memahami dan menyelami perasaan mereka kerana saya jua berada di dalam situasi mereka. Mungkin mereka agak mewah dengan pelbagai sumbangan daripada orang perseorangan dan badan-badan korporat namun mereka agak ketandusan dari segi kasih sayang.
Kasih sayang orang luar tidak akan dapat mengatasi kasih sayang ibu dan ayah kandung sejati. Contohnya seperti kami sendiri, kami berada di sana selama 14 jam, berjaya menyemai perasaan sayang dengan mereka namun, hanya 14 jam kami bersama dengan mereka. Keesokan harinya, perasaan itu mungkin masih wujud, tapi bayangkan untuk jangka masa 20 tahun lagi, adakah perasaan itu masih tetap sama? Benarlah kata orang, kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa membawa bahagia, manakan sama dengan kasih insan lain…
Seusai berbuka puasa beramai-ramai, kami bersama-sama mengerjakan solat fardhu Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Arifuddin. Selepas solat Maghrib, untuk mengisi masa yang terluang dan memenuhi kriteria program BIG yang memerlukan kepada ceramah, ‘abi’ kami yang amat dihormati, Tuan Haji Salleh bin Jusoh memberikan kuliah Maghrib yang lebih menjurus kepada keistimewaan bulan Ramadhan al-Mubarak. Selepas itu, kami sama-sama mngerjakan solat sunat terawikh yang diimami oleh Syadid Habibullah.
Selepas mengadakan sedikit jamuan perpisahan dan memberikan sumbangan daripada orang ramai kepada wakil pentadbir asrama tersebut dan menyampaikan cenderamata daripada pihak kami, PISMP PIM semester 2 dan menjamah bubur lambuk yang dimasak pada petang harinya serta bersalam-salaman besama-sama mereka, kami berangkat pulang ke Institut Perguruan Kuala Terengganu pada jam 10.30 malam.
Sebagai kesimpulan, secara keseluruhannya, berdasarkan pengalaman yang saya dapati sepanjang menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) , ia meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya Sesungguhnya pengalaman dan kenangan sebelum, semasa dan selepas program BIG tersebut mencambahkan pelbagai momen yang akan terpatri di dalam celahan lipatan hidup saya. Semoga aktiviti yang kami lakukan ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Secara jujurnya, saya merasakan bahawa program BIG ini mampu untuk membina jati diri seseorang bakal guru yang mantap dari segenap aspek terutama JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial). Aktiviti BIG juga begitu bermakna kepada bakal pendidik sejajar dengan aspirasi negara dan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi tumpuan penuh kepada penghasian modal insan yang berminda kelas pertama secara menyeluruh dan mampu bersaing dalam arus marcapada sekarang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru. Selain itu, kepada pihak Institut Perguruan Kuala Terengganu terutama Tuan Timbalan Pengarah, Encik Mohamad bin Ngah kerana sudi meluluskan program BIG kami serta kepada tutor kesayangan kami iaitu ’abi’, Tuan Haji Salleh bin Jusoh dan ’umi’, Cik Hajah Zakiah binti Abd. Wahab untuk bersama-sama kami menjayakan program BIG ini. Tidak dilupakan juga kepada pihak pentadbir asrama Darul Falah, terima kasih di atas kesudian menerima kehadiran kami.
Saya sangat bersyukur dapat menyertai program ini dan saya mengharapkan agar program-program seperti ini dapat lagi dijalankan agar banyak lagi maklumat dan panduan baru yang akan kami perolehi serta kami boleh sentiasa memperbaiki diri kami dari semasa ke semasa.
Akhir kalam, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu juga datangnya dari Allah tetapi disandarkan ke atas kelemahan diri saya. Semoga kualiti dan mutu tugasan saya dapat ditingkatkan dari masa ke semasa dengan bantuan pensyarah pembimbing dan rakan-rakan seperjuangan.
Wallahu a’lam.
6:37 PM | Labels: cebisan kenangan | 2 Comments
BIG sem 1
Menelusuri refleksi BIG yg penah dibuat sem 1 dlu...hee~~
Alhamdulillah, pertama-tama dan terakhirnya jutaan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya dapat juga saya siapkan laporan dan refleksi perkhemahan Bina Insan Guru (BIG) bagi semester satu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini pada masa dan tempoh yang ditetapkan.
Pada 22-25 Mei 2008 yang lalu, saya dan 98 rakan yang lain telah menjalani program Bina Insan Guru bagi semester 1 iaitu perkhemahan yang diadakan di Taman Rehlah Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan yang merupakan aktiviti wajib program latihan perguruan.
Sepanjang 4 hari 3 malam saya dan rakan-rakan berkampung di Taman Rehlah berbekalkan modul-modul dan tanggungjawab yang telah disusun serta disediakan oleh pihak Bahagian Pendidikan Guru dan Institut Perguruan Kuala Terengganu, pastinya banyak mehnah dan ujian yang terpaksa saya hadapi. Tidak dapat dilupakan juga 1001 pengalaman pahit dan manis yang dapat saya pelajari di sana.
Kita telusuri hari pertama iaitu hari Khamis, 22 Mei 2008. Pada hari tersebut sebenarnya kami baru sahaja selesai menjalani peperiksaan akhir semester 1. Bayangkan dalam kesibukan menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan kami terpaksa mencuri sedikit masa untuk mengemaskan pakaian untuk perkhemahan BIG dan barang-barang yang akan dibawa pulang ke kampung sementelah bermula pada 23 Mei hingga 14 Jun merupakan cuti semester pertama bagi pelajar-pelajar institut perguruan di seluruh Malaysia dan kami diarahkan supaya mengosongkan bilik asrama. Satu tugas yang bukan mudah rupanya! Tapi, mujurlah pihak pengurusan asrama membenarkan kami menggunakan almari untuk menyimpan separuh daripada barang-barang kami.
Alhamdulillah, kami dapat menyempurnakan tanggungjawab tersebut sebelum jarum jam menunjukkan jam 2 petang kerana pada masa itulah kami dijangka menaiki bas dan bertolak ke Taman Rehlah. Rupanya, di sini sekali lagi kesabaran dan ketenangan kami diuji dengan begitu hebat. Seawal jam 1.45 setelah menunaikan solat fardhu Zohor kami dengan setianya menanti bas institut yang akan membawa kami ke Taman Rehlah. Namun,kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Bas yang kami nantikan dengan penuh ‘kerinduan’ itu hanya tiba pada jam 4.00 petang. Walaupun, geram dengan situasi yang dihadapi, namun kami tetap memaniskan wajah…
Oh, BIG terlebih awal melatih diriku menjadi bakal guru dengan situasi sebegini, fikir saya. Cuba kita adaptasikan dalam konteks seorang guru. Kesabaran adalah penting ketika berada dalam kelas bersama murid-murid. Tanpa kesabaran yang setebal Kamus Dewan, sudah tentu saban hari akan terpampang di dada akhbar tentang penderaan yan dilakukan oleh guru-guru terhadap murid-murid yang tidak mendengar kata dan mempunyai masalah disiplin, bukan? Mujurlah, Malaysia memiliki guru-guru yang betul-betul berjaya memenuhiaspirasi negara seperti kami ini…
Pada malam hari, aktiviti utama yang kami jalani ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Hajah Rohani bt. Ab. Hamid. Berdasarkan unit, kami ditaklifkan untuk berbincang mengenia nama, logo (bendera), sorakan dan nyanyian kumpulan. Bermacam-macam cadangan yang diterima daripada kami sebelum semua bersetuju dan bersepakat untuk memilih PRODIGY yang dicadangkan oleh ‘Amirah sebagai nama dan identiti kumpulan kami. PRODIGY bermaksud mempunyai kebolehan yang luar biasa. Nah, bertepatan bukan dengan kami, opsyen Pendidikan Islam (PAI) kan? Amyrudin ditugaskan untuk melukis logo kumpulan yang telah dihasilkan secara bersama oleh semua ahli kumpulan beserta dengan maksud setiap objek yang digunakan. Syadid dan Izzuddin pula merupakan individu yang bertanggungjawab menggubah lagu dan menulis skrip opsyen kami:
Prodigy (3x)
Pantang berundur sebelum kalah
Walau dicabar kami tak gentar
Kamilah Prodigy (2x)
Di sini saya belajar tentang betapa pentingnya kita menjadi pendengar yang baik dan menerima serta menghargai pendapat orang lain. Hal ini demikian kerana walaupun rambut manusia sama hitam, hati sama merah, tapi isi hati merela berlainan. Kita tida boleh mengatakan pendapat kita sahaja yang harus diterima dan mengenepikan pendapat orang lain. Itu menyalahi konsep ethos guru yang sebenarnya.
Selain itu, sebagai seorang guru kita perlu mempunyai kebolehan berkomunikasi yang baik dan memiliki bahasa badan yang bersesuaian untuk membolehkan kita diterima oleh orang ramai khususnya murid-murid kita nanti. Tanpa kebolehan-kebolehan tersebut, ilmu pedadogi pendidikan yang kita pelajari semasa menuntut di institut perguruan tidak dapat kita aplikasikan dengan sebaik mungkin.
Kumpulan kami (PAI) dipecahkan kepada 2 kumpulan kecil mengikut tutor masing-masing seperti kumpulan A bersama dengan Tuan Haji Salleh b. Jusoh dan kumpulan B bersama dengan Cik Hajah Zakiah bt. Abd. Wahab. Pada malam pertama, selepas menyelesaikan tugas menggantung jaket keselamatan di ampaian dengan menggunakan ‘penyangkut baju asli’, kami ditugaskan pula untuk mengawal keselamatan (Sentry). Sentry kumpulan A adalah pada jam 3-4 pagi sementara kumpulan B pula pada jam 4-5 pagi.
Aduh, peritnya menghabiskan saat-saat tersebut. Selama ini hanya berjaga malam untuk menyiapkan tugasan dan menelaah pelajaran tapi pada malam tersebut kami perlu menjadi pengawal keselamatan! Satu pengalaman yang baru bagi saya sendiri kerana belum pernah bangun di tengah malam dengan tugasan sebegitu. Lagi pula di dalam kawasan seperti Taman Rehlah itu kami perlu mengawal keselamatan kawan-kawan yang sedang enak dibuai mimpi dari anasir-anasir jahat makhluk Allah seperti manusia, binatang dan makhluk alam lain yang kita tidak bias lihat daripada pandangan mata kasar. Namun, segala puji dipanjatkan kepada-Nya kerana tiada perkara yang ganjil berlaku pada masa itu.
Alhamdulillah.
Pada hari kedua, Jumaat (23 Mei 2008), kami memulakan hari dengan menyanyikan 3 buah lagu patriotik iaitu lagu Negaraku, IPKT dan Kami Guru Malaysia serta senaman pagi yang dikendalikan oleh En. Safri b. Aziz. Macam-macam gaya senaman yang kami buat. Sungguh kelakar dan menyeronokkan!
Ada pepatah Arab menyebut:
العقل السليم فى جسم السليم
Maksudnya:
Akal yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas
Dalam sesi LDK kedua ini yang juga dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Hajah Rohani bt. Abd. Hamid, kami telah menjawab soalan-soala bagi ujian-ujian psikolgi (SDS/KONFLIK) dan Ice Breaking.
Kami dibekalkan dengan sehelai kertas A4 yang dibahagikan kepada 4 bahagian A, B, C, dan D. Pada kertas A ditulis tandatangan, B ditulis unit sendiri, C ditulis bangsa dan D ditulis negeri kelahiran. Kertas berlabel B, C, D diletakkan didalam satu bekas. Kami disurh membuat bulatan besar dan kertas A diletakkan di tengah bulatan.kami perlu mengambil sehelai kertas A yang telah diletakkan dan dikehendaki mencari pemilik tandatangan. Sesi berkenalan diadakan bersama pemilik tandatangan. Peserta yang tidak dapat mencari pemilik tandatangan ditanya kenapa gagal mencari dan apakah usaha yang telah dilakukan untuk mencari pemilik tandatangan tersebut.
Melalui aktiviti ini saya mendapat kertas yang ditandatangani oleh pelajar opsyen PRA Sekolah iaitu Mohd. Nawawi. Sebelum ini, saya tidak pernah pun ’beramah mesra’ dengan beliau kerana status jantina yang berlainan, tetapi disebabkan perlu mendapat pengakuan daripadanya, maka saya menebalkan muka dan membuang segala perasaan malu saya. Di sini, saya pelajari, sebagai guru kita perlu mempunyai sikap peramah dan harus memiliki perasaan malu yang bertempat. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perasaan malu harus dikikis dan diletakkan di tempat yang sepatutnya.
Seterusnya, kami diminta untuk menjawab soal selidik kerjaya (SDS) yang bedasarkan kepada kesukaan, kecekapan dan nama pekerjaan. Melalui ujian ini pelajar Institut Perguruan Kuala Terengganu yang betul-betul layak dan berminat untuk menceburi bidang perguruan hanyalah 8 orang. Mereka memperoleh keputusan SEA atau SAE. Dan, yang paling menggembirakan saya, rupa-rupanya saya pun antara 8 orang tersebut! Alhamdulillah. Sebenarnya, saya rasa minat saya dipupuk melalui pengaruh keluarga dan persekitaran kerana kedua-dua ibu bapa saya merupakan seorang guru, secara tidak langsung prospek kerjaya mereka diwarisi oleh saya.
Rupa-rupanya, kerjaya yang akan kita jawat bergantung kepada diri kita sendiri dan benda itu boleh dipupuk dari semasa ke semasa. Semuanya terpulang kepada kita berdasarkan minat dan cita-cita kita sendiri. Namun, walau siapa pun kita, semuanya adalah pinjaman daripada Allah semata-mata. Kita sebagai khalifah-Nya perlu memikul amanah sebaik-baiknya.
Pada jam 10.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari kami semua berada di dalam air untuk menjalani aktiviti kayak dan Water Confident. Kami, pelajar perempuan opsyen PAI digabungkan bersama-sama dengan pelajar daripada opsyen Pendidikan Jasmani (PJ), sementara opsyen lain menjalani aktiviti darat bersama En. Mohd. Eddy Chin b. Abdullah.
Inilah pengalaman pertama saya berkayak. Sepanjang saya hidup 21 tahun ini, belum pernah sekalipun saya menyentuh kayak, apatah lagi untuk berkayak. Saya berkayak bersama pasangan saya iaitu ’Amirah, yang juga tiada pengalaman langsung berkayak. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya unit PAI yang lain. Muka masing-masing pucat tidak berdarah.
Yang melucukan, sebelum berkayak saya sempat mengucap 2 kalimah syahadat dan meyampaikan ’wasiat’ kepada kawan-kawan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada saya nanti tolong sampaikan salam saya buat keluarga di kampung. Memang betul-betul tidak dapat digambarkan kengerian saya itu dengan kata-kata.
Melihat kepada kegugupan kami, pensyarah yang bertugas iaitu Pn. Normar bt. Ali dan En. Safri b. Aziz memberi sedikit taklimat awal dan perkara-perkara asas yang perlu diketahui untuk berkayak seperti pengenalan kayak, kaedah memegang dayung, cara memasuki kayak, teknik berkayak, teknik mengelakkan kayak dimasuki air atau terbalik dan cara mengawal kecemasan yang biasa berlaku semasa kayak.
Berdebar jantung saya apabila pertama kali masuk ke dalam kayak. Saya memilih untuk berasa di bahagian ’stern’ iaitu tempat duduk hadapan sementara ’Amirah di bahagian ’bow’ iaitu tempat duduk belakang. Lidah saya tidak berhenti meminta ampun daripada Allah dan memohon agar kayak kami di bawah naungan-Nya. Subhanallah, kayak kami berkaya digerakkan dan segala teknik yang pensyarah pembimbing berikan dapat kami berdua praktiskannya secara amali. Gembira, seronok, terharu dan semestinya bersyukur bercampur baur dalam diri kami berdua. Tiada kata-kata seindah bahasa yang mampu kami ungkapkan ketika itu.
Namun, apabila separuh masa kedua untuk ke kawasan yang lebih mencabar, kami ditukarkan pasangan dengan pelajar lelaki opsyen PJ. Tempat ’Amirah ditukarkan dengan saudara Zaidul sementara beliau sendiri dipasangkan dengan saudara Azri dari opsyen yang sama. Agama tidak menghalalkan percampuran antara lelaki dengan perempuan tanpa sebab-sebab yang khusus, namun diberi rukhsah jika dalam keadaan darurat. Dan, alhamdulillah, Zaidul memahami situasi saya dan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada saya di samping menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat. Jutaan terima kasih kepada saudara Zaidul kerana banyak membantu saya sepanjang menjadi penghuni air dalam tempoh 15 minit tersebut.
Banyak benda baru yang dapat saya pelajari semasa berkayak dan dalam banyak-banyak aktiviti BIG ini saya rasakan saya jatuh hati dengan aktiviti kayak. Tidak sabar rasanya untuk mencuba lagi! Kayak mengajar saya erti bekerjasama, tolak ansur, kefahaman antara ahli kumpulan, perlunya menghormati arahan pemimpin dan bersikap cakna antara satu sama lain.
Di samping itu, aktiviti dalam air kedua yang juga banyak menguji keimanan dan ’keperkasaan’ saya ialah ’Water Confident’. Wah, saya dah mampu berenang! Kelakar bunyinya tapi itulah realiti yang dihadapi. Seperti kayak, saya juga tidak pernah merasai pengalaman dan belajar berenang. Biasanya apabila ke pantai atau sungai saya hanya mampu berada di gigi-gigi air atau merendamkan sedikit badan dalam air, tapi semasa aktiviti water confident ini saya diajar cara-cara berenang dengan betul.
Kuak kupu-kupu, gaya bebas dan ’renang berirama’ antara jenis gaya renangan yang saya lakukan. Tapi sekarang, andainya disuruh berenang saya masih memerlukan bantuan jaket keselamatan jika ingin berada bagai ikan-ikan di dasar lautan. Pelik tapi benar! Walaupun boleh berenang walaupun jauh bezanya dengan gaya renangan orang lain, saya juga dapat merasa saat-saat ditarik oleh pensyarah ketika itu iaitu Tn. Hj. Mutalib apabila beliau melihat renangan saya itu tersasar daripada tempat untuk mendarat. Apabila saya teringat akan peristiwa itu, pasti saya akan ketawa seorang diri. Lawak... lawak...
Melalui water confident, saya dapat rumuskan bahawa, setiap apa yang ingin kita lakukan perlulah ada keyakinan yang tinggi serta kepercayaan kepada kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Jika orang lain boleh melakukannya, kenapa tidak aku? Namun, ada seorang sahabat saya yang betul-betul fobia dan mengalami ketakutan yang amat sangat apabila berada di air. Mungkin ada sejarah dan pengalaman silam yang pahit yang telah ditempuhinya menyebabkan beliau menjadi begitu. Semoga selepas ini beliau berjaya mengatasi masalah tersebut. Amin.
Pada hari ketiga, Sabtu, 24 Mei 2008, program BIG dimulakan seperti biasa, nyanyian lagu-lagu patriotik dan senaman bersama-sama bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara. Sebelum kami kembara di kawasan Pasir Puteh terlebih dahulu kami berkumpul di surau untuk sesi LDK keempat yang bertajuk Motivasi Diri dan Cetusan Idea yang juga dikendalikan oleh Dr. Hajah Rohani bt. Abd. Hamid. LDK ini lebih kepada untuk memotivasikan kami sebagai bakal guru dan melatih kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis tentang sesuatu topik yang berkaitan dengan permasalahan profesion perguruan secara spontan.
Saya dapati, walaupun fikiran kita telah ditetapkan untuk menjadi guru suatu hari nanti, namun, akal dan hati kita perlu disirami dengan kata-kata semangat dan curahan baja motivasi supaya perasan seorang guru dapat diwujudkan sepanjang masa. Iman manusia boleh bertambah dan berkurang sudah semestinya juga perasaan kita. Pasti ada masa kita bersemangat dan ada kalanya motivasi kita jatuh merudum. Oleh itu, perlunya ada seserang individu yang sentiasa menyedarkan kita dan menggerakkan kita daripada terus terlena serta terleka.
Selepas menikmati minuman pagi, kami memulakan aktiviti kembara yang merupakan aktiviti yang terbesar dan betul-betul menguji ketahanan mental, fizikal, intelek, rohani dan emosi kami semua. Segala onak dan duri kami tempuhi, panas padang pasir kami lalui, semak samun kami langkahi, jalan berliku kami telusuri dengan 1001 perasaan yang bersarang di lubuk hati.
Terdapat 6 checkpoint yang perlu kami lalui iaitu menyusuri laluan pantai dan tiba di checkpoint pertama, tapak rumah api yang melalui hutan kecil dan tiba di checkpoint kedua, Kem Program Latihan Khidmat Negara Pantai Semerak, Pasir Puteh. Checkpoint ketiga, Masjid Mukim Kuala Semerak. Checkpoint keempat, jambatan Kg. Cherang Ruku. Checkpoint kelima, Kaki Bukit Peraksi untuk menunggu sebahagian peserta yang mendaki Bukit Peraksi. Checkpoint 6, Jeti yang merupakan tempat memasak untuk makan tengah hari.
Bagaikan hampir patah kaki ini berjalan tanpa henti menuju ke checkpoint kelima. Rasanya, jika semangat seorang guru yang tidak mudah berputus asa itu tiada dalam diri saya dan kawan-kawan, aktiviti kembara ini kami tamatkan di pertengahan jalan sahaja. Betul-betul merupakan pengalaman yang meletihkan! 3 hari berturut-turut saya diurut oleh ayah saya. Di hati ini hanya Tuhan yang tahu...
Melalui aktiviti kembara ini juga, dapat kita lihat dengan jelas siapa yang betul-betul merupakan kawan kita dan siapa yang menjad gunting dalam lipatan, di waktu senang baik, namun, masa susah tiada siapa yang sama-sama mahu menanggung kesusahan tersebut. Benarlah kata orang tua, kawan ketawa senang dicari tetapi kawan menangis sukar sekali untuk didapati.
Disebabkan kemantapan ukhuwah kami antara pelajar opsyen PAI yang bagaikan sebuah keluarga besar yang dinaungi oleh 2 orang tutor iaitu Tn. Hj. Salleh b. Jusoh dan Cik Hjh. Zakiah bt. Abd. Wahab, di sepanjang perjalanan tersebut kami saling bekerjasama dan bantu-membantu apabila terdapat sebarang masalah.
Namun, yang menjad ralat di hati kami ialah hajat dan hasrat yang menggunung untuk merasai pengalaman mendaki bukit (Bukit Peraksi) tidak dapat terlaksana. Ini kerana alasan pensyarah pembimbing masa tidak mencukupi untuk melepaskan kesemua peserta BIG ini untuk ke atas bukit. Rasa seperti ketidak adilan berlaku kerana masing-masing yang tidak dapat mendaki bukit dengan semangat yang berkobar-kobar meneruskan perjalanan yang memenatkan itu semata-mata untuk menimba pengalaman mendaki bukit.
Perasaan hampa, sedih dan kecil hati saling bercampur baur dalam diri mereka-mereka yang tidak dapat naik sementelah telah dikhabarkan oleh En. Mutalib semasa taklimat tentang keindahan tempat tersebut. Selain itu, Bukit Peraksi juga merupakan antara tempat di Kelantan yang mana ulama’-ulama’ naik ke atas sana untuk melihat anak bulan. Bukankah semua itu adalah sejarah Islam yang perlu diagungkan? Kemajuan umat Islam. Ini adalah penting untuk lebih menanamkan kepercayaan dan kekaguman dalam diri setiap orang tentang kebesaran dan keagungan pencipta kita iaitu Allah s.w.t.
Walau bagaimanapun, kami faham, pensyarah mungkin ada alasannya yang tersendiri kenapa terjadi begitu. Namun, harapnya pada waktu-waktu lain biarlah apa yang diperoleh semasa program BIG ini dapat dirasai oleh semua orang. Kalau tiada masa yang mencukupi,lebih baik semua peserta usah naik terus. Tidak akan timbul rasa ketidakpuasan hati antara seorang individu dengan individu yang lain.
Walaupun begitu, kami opsyen PAI jika diberi ruang waktu dan keizinan oleh Allah akan cuba juga untuk menawan Bukit Peraksi tersebut. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya. Perancangan dalam buku program BIG itu jika diikut dengan teliti, pasti hasilnya akan lebih memberangsangkan bukan? Tapi, kita hanyalah manusia biasa. Kami faham...
Selepas itu, kami ke checkpoint keenam di jeti pendaratan ikan. Di sini, kami diberi masa selama 1 jam sahaja untuk memasak bahan yang disediakan seperti ayam, kubis dan beras. Hasilnya, ayam goreng separuh masak, sayur goreng dan nasi yang berbau asap api. Semuanya sudah terlalu lazat untuk mengisi perut kami yang kosong itu.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran untuk mencari kayu api dan menghidupkan api tersebut di tengah panas mentari yang agak terik membakar kulit, namun berkat kerjasama yang padu dan saling bantu-membantu antara kami semua akhirnya kami mampu tersenyum kekenyangan.
Selepas itu, bermulalah episod yang tidak akan dapat dilupakan iaitu meredah paya bakau. Dengan berbekalkan bau tanah yang semerbak, keletihan yang hampir-hampir membuatkan jalan tersungkur kami terpaksa meredah paya tersebut untuk ke destinasi seterusnya iaitu Taman Rehlah. Memang suatu pengalaman yang cukup mengujakan!
Saya pelajari suatu perkara lagi iaitu kita tidak semestinya berada di dalam kesenangan sepanjang masa kerana hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang kita akan berada di bawah. Pengalaman makan nasi berlaukkan ayam separuh masak benar-benar menginsafkan saya dan saya bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang untuk hidup pada zaman pasca merdeka ini dan berada di negara Malaysia yang aman dari segala peperangan tidak seperti di Iraq, Bosnia dan sebagainya.
Kami selamat sampai ke tapak perkhemahan pada jam lebih kurang 6 petang. Selepas menguruskan diri,pada malamnya kami diberi peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing pada Malam Kebudayaan. Antara temanya ialah Matematik-Hari Konvokesyen, PAI-Posting, PRA sekolah-Perpaduan Kaum, PJ-Minggu Pengurusan dan Sains-Kebudayaan Malaysia.
Kami bersepakat untuk mendeklamasikan sajak berkenaan dengan ‘Posting’ tersebut. Persembahan yang ‘paling menari’ kami rasakan berbanding dengan kumpulan lain, bertepatan dengan tempat kelima yang kami perolehi. Ini bukanlah bermakna kami tidak berbakat, namun begitu, kami ingin memberi peluang kepada opsyen lain untuk lebih menyerlah… Dan, seperti yang dijangkakan, opsyen Matematik memenangi Malam Kebudayaan tersebut dengan gelagat mereka yang mencuit hati dan memenangi hati para juri.
Pada saya, kesimpulan yang dapat saya perolehi ialah, sebagai seorang guru, kita perlu kreatif daninovatif dalam usaha menarik minat pelajar di dalam kelas kerana setiao orang murid mempunyai ragamnya tersendiri dan bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk mengawalnya.
Sedar tidak sedar sudah empat hari kami berkampung di Taman Rehlah dan hari Ahad, 25 Mei 2008 merupakan hari terakhir kami berada di sana. Melalui LDK kelima yang dikendalikan oleh En. Zaharim b. Tawang yang bertajuk ‘Penghargaan Kendiri dan Perubahan Sikap’ banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Beliau menekankan perlunya kita menghargai kelebihan diri sendiri dan tidak malu untuk berkongsi masalah serta meminta pendapat orang lain berkenaan sesuatu topik yang diutarakan.
Sebelum diadakan majlis perasmian penutup, kami berkumpul di dalam dewan untuk sesi terakhir iaitu sesi refleksi keseluruhan program BIG sesi 1 ini bersama dengan pensyarah. Pelbagai komentar diberi oleh kedua-dua pihak dan semuanya diselesaikan secara damai tanpa ada rasa tidak puas hati antara mana-mana pihak. Selepas itu, majlis perasmian penutup program BIna Insan Guru disempurnakan oleh wakil pengarah Institut Perguruan Kuala Terengganu iaitu Tn. Hj. Hamdan b. Abd. Manaf.
Secara keseluruhannya, berdasarkan pengalaman yang saya dapati sepanjang menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) ini, ia meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya. Segal kenangan indah dan pahit sepanjang erada di sana akan saya abadikan dalam lipatan hidup saya.
Secara jujurnya, saya merasakan bahawa program BIG ini mampu untuk membina jati diri seseorang bakal guru yang mantap dari segenap aspek terutama JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial). Aktiviti BIG juga begitu bermakna kepada bakal pendidik sejajar dengan aspirasi negara dan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi tumpuan penuh kepada penghasian modal insan yang berminda kelas pertama secara menyeluruh dan mampu bersaing dalam arus marcapada sekarang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru serta kepada semua pensyarah pembimbing yang sudi meluangkan waktu cuti mereka untuk bersma-sama kami menjayakan program BIG ini. Saya sangat bersyukur dapat menyertai program ini dan saya mengharapkan agar program-program seperti ini dapat lagi dijalankan agar banyak lagi maklumat dan panduan baru yang akan kami perolehi serta kami boleh sentiasa memperbaiki diri kami dari semasa ke semasa.
Akhir kalam, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu juga datangnya dari Allah tetapi disandarkan ke atas kelemahan diri saya. Semoga kualiti dan mutu tugasan saya dapat ditingkatkan dari masa ke semasa dengan bantuan pensyarah pembimbing dan rakan-rakan seperjuangan.
6:00 PM | Labels: cebisan kenangan | 2 Comments
.: x Kenal Maka x Cinta :.
- ayman fahym
- hamba Allah di dunia sementara ni...simple jep,kdg2 buat mnde2 x pkir pnjang pown..huhu.. sper yg knal taw la kn?kn?

